Media Room
Media Room

Kenyataan Balas PEMANDU Terhadap The Malaysian Insider (TMI) Bagi Memperjelas Laporan Yang Mengelirukan, Tidak Benar Dan Tidak Beretika Oleh TMI

KUALA LUMPUR, 25 OGOS 2015 - Kami berasa kesal dengan laporan tulisan Yasmin Ramlan yang bertajuk “Sundry shop owners in debt after TUKAR programme turns hope into loss” (Pemilik kedai runcit menanggung hutang apabila program TUKAR membawa kerugian dan bukan harapan) yang ternyata salah dan mengelirukan. Laporan beliau ini telah disiarkan oleh The Malaysian Insider (TMI) pada 24 Ogos 2015. 

Di dalam artikel tersebut, Yasmin telah menuduh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan mengatakan bahawa KPDNKK gagal memberi maklum balas kepada TMI apabila dihubungi. 

Namun, kami mempunyai dokumentasi jelas untuk membuktikan pembohongan laporan tersebut. Pada 28 Julai 2015, KPDNKK telah menghantar dokumen setebal lapan muka surat melalui email kepada TMI berserta kesemua jawapan terhadap persoalan yang ditimbulkan oleh TMI, malah, dokumen tersebut turut disertakan dengan statistik dan data untuk memperkukuhkan fakta yang dinyatakan. Akan tetapi, maklumat yang telah diberikan oleh KPDNKK tersebut tidak dizahirkan oleh TMI di dalam laporan mereka sedangkan TMI sudah memaklumkan kepada KPDNKK bahawa mereka telah menerima email yang dihantar. 

Justeru, tuduhan bahawa pihak Kementerian gagal memberi respons adalah suatu pembohongan ketara dan tidak bertanggungjawab. Untuk makluman para pembaca kami, kami sertakan di sini respons penuh yang telah kami hantar kepada TMI pada 28 Julai 2015: http://etp.pemandu.gov.my/Media_Release-@-Soalan_berhubung_program_Transformasi_Kedai_Runcit_(TUKAR)_%E2%80%93_The_Malaysian_Insider.aspx

Sekiranya TMI mengamalkan sikap integriti kewartawanan yang sepatutnya ada pada setiap wartawan, sudah pasti mereka akan melaporkan fakta yang tepat dan sekurang-kurangnya merujuk kepada maklumat rasmi yang telah disediakan oleh pihak Kementerian kepada mereka. Ini tidak, sebaliknya, mereka dengan sengaja mengelirukan pihak pembaca dengan sebuah laporan yang ditokok tambah, berat sebelah dan jelas cuai, yang hanya bersandarkan pada pengalaman dua daripada 2082 pemilik kedai runcit TUKAR di seluruh negara. 

Tuduhan yang dilemparkan oleh TMI telah kami senaraikan di sini bersama-sama respons kami. 

Kesalahan Fakta 1: Pemilik kedai runcit dipaksa menerima Pasar Raya Checkers sebagai perunding dan pembekal

Penjelasan 1: Pembekal barangan Checkers tidak tersenarai dalam panel perunding atau pun dalam senarai panel pembekal TUKAR. Dalam kes Kedai Runcit Mary, TESCO Malaysia telah dilantik khas sebagai perunding, namun pembekal barangan iaitu Checkers telah dipilih sendiri oleh tuan punya kedai. Semestinya, setiap pemilik kedai mempunyai hak masing-masing untuk memilih pembekal barangan mereka. 

Seperti yang kami sebutkan tadi, TMI sebagai sebuah badan kewartawanan seharusnya merujuk dahulu kepada agensi kerajaan yang terbabit sebelum mereka membuat laporan. Perbuatan TMI yang langsung tidak mengendahkan etika asas kewartawanan dengan melontarkan kenyataan yang sewenang-wenangnya tanpa sebarang bukti telah merendahkan standard pelaporan mereka tanpa sedar. 

Kesalahan Fakta 2: Pemilik kedai dipaksa menggunakan khidmat kontraktor untuk tujuan pengubahsuaian kedai mereka.

Penjelasan 2: Peserta program TUKAR berhak menolak sebarang cadangan pengubahsuaian, kontraktor atau kos yang dicadangkan kepada mereka sekiranya cadangan tersebut tidak menepati keperluan mereka. Tidak akan ada sebarang pengubahsuaian akan dilaksanakan ke atas kedai mereka sekiranya pemilik kedai tidak meluluskan sebut harga yang dicadangkan. 

Kesalahan Fakta 3: Pemilik kedai mendakwa beliau menanggung hutang sebanyak RM60,000 disebabkan kos pengubahsuaian berjumlah RM40,000 dan barangan runcit berjumlah RM20,000 

Penjelasan 3: Setiap peserta TUKAR diberi peruntukan pinjaman pada nilai maksimum RM80,000 iaitu RM30,000 untuk stok barangan sementara RM50,000 untuk kos pengubahsuaian kedai. Pemilik berhak membuat pinjaman serendah mungkin asalkan tidak melebihi had RM80,000. 

Tempoh pembayaran bagi pinjaman tersebut ditetapkan selama 15 tahun dengan kadar faedah 3 peratus setahun yang dikenakan atas jumlah pinjaman yang tinggal. 

Laporan TMI mendakwa bahawa pemilik kedai ini merasakan kos pengubahsuaian sebanyak RM40,000 adalah tidak wajar dimana dikatakan bahawa ‘hanya sedikit lampu, cat, tata susun kedai yang ditambah, serta pendawaian, rak kedai dan mesin tunai yang diperbetulkan’ dan kononnya ‘kos sebenar tidak akan mencecah setinggi itu’. 

Sekali lagi, sekiranya pihak TMI membuat rujukan silang dengan dokumentasi yang diberikan  oleh KPDNKK, mereka pastinya akan memahami fakta sebenar, iaitu jumlah RM40,000 ini merangkumi barangan yang berkos tinggi seperti gondola, papan tanda baharu, pendawaian untuk seluruh kedai untuk menampung kelengkapan yang memerlukan tenaga tinggi serta sistem yang merekod nilai jualan harian atau ‘point-of-sales’. 

Lihatlah sendiri gambar ‘sebelum dan selepas’ kedai tersebut agar pembaca dapat menyaksikan sendiri transformasi kedai runcit ini.  

Sebelum transformasi







Selepas transformasi







Kesalahan Fakta 4: Penyataan nama pemilik kedai, nama kedai dan lokasi kedai yang mengelirukan

Penjelasan 4: TMI tanpa segan silu mengeluarkan artikel mereka sedangkan artikel itu mengandungi maklumat yang salah tanpa menyedari maklumat tersebut ialah perkara paling asas di dalam sesebuah laporan – dalam hal ini fakta yang didapati mengelirukan adalah – nama pemilik kedai, nama kedai dan lokasi kedai. 

Anamary Arokiam ialah peserta TUKAR yang didaftarkan iaitu pemilik Kedai Runcit Mary yang terletak di Lorong Kurau, berdekatan Jalan Bangsar. Beliau bukanlah pemilik Prem Mini Mart seperti yang disebut dalam artikel TMI. 

Sebaliknya, pemilik Prem Mini Mart yang bertempat di Jalan Klang Lama ialah Agnel Prem D’Cruz yang juga merupakan peserta TUKAR yang berdaftar. Jancy pula ialah ibu mertua Agnel dan beliau berperanan menjaga kedai tersebut. 

Kesalahan Fakta 5:  Pemilik kedai mendakwa bahawa peguam yang dilantik oleh TUKAR  ‘datang ke kedai beliau dan mengugut akan mengheretnya ke mahkamah jika beliau gagal melunaskan bayaran tertunggak...’

Penjelasan 5: Kedua-dua kedai runcit  yang dimaksudkan di dalam artikel tersebut sedang berdepan dengan tindakan undang-undang yang diambil oleh Koperasi Suria disebabkan tunggakan pinjaman yang berstatus ‘non-performing loans’ (NPL), dan dalam hal ini, pinjaman mereka telah tertunggak sejak tahun 2013. 

Kami tegaskan di sini bahawa tidak ada sebarang “peguam TUKAR” yang dilantik dalam kedua-dua kes. Koperasi Suria ialah badan koperasi yang berperanan mengagihkan pinjaman kepada peserta TUKAR, justeru mereka jugalah yang bertanggungjawab mengutip bayaran bulanan pinjaman seperti yang telah dipersetujui dalam kontrak pinjaman. 

Oleh hal yang demikian, Koperasi Suria mempunyai obligasi untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pinjaman telah tertunggak sehingga menjadi status NPL. Tindakan ini perlu bagi memastikan kemampanan program TUKAR yang bersandarkan dana sedia ada yang mencukupi untuk kegunaan peserta TUKAR yang akan datang. 

Sebenarnya, perbincangan telah pun dilakukan untuk membantu pemilik kedai membuat bayaran minimum setiap bulan, namun mereka masih tidak berbuat demikian. 

Objektif program TUKAR adalah untuk memodenkan kedai runcit tradisional dengan tujuan membantu mereka bersaing dengan pasar raya besar yang lebih moden. Program ini memberikan peluang kepada peserta untuk memodenkan keadaan fizikal premis dan meningkatkan kecekapan mereka menguruskan kedai, namun hasrat pemodenan dan transformasi ini tidak dapat dicapai sekiranya peniaga tidak mentransformasi minda mereka ke arah pengurusan perniagaan yang lebih baik.

Apabila menyertai program TUKAR, setiap pemilik kedai mempunyai tanggungjawab untuk mengamalkan kaedah terbaik yang diajar oleh mentor mereka dari segi pemasaran, inventori dan pengurusan kewangan secara konsisten. Hasil akhir jualan kedai tersebut sesudah ditransformasi masih terpulang kepada kreativiti serta disiplin  pemilik kedai itu sendiri. 

Program TUKAR ini telahpun dilaksanakan sejak lima tahun yang lalu dan semakin menjadi program tumpuan utama peruncit kecil di seluruh negara. Malah, bukti kejayaan yang telah diraih oleh program ini turut terbukti melalui kajian impak terhadap program ini yang dilaksanakan oleh TNS pada tahun 2013 yang dibuat di seluruh negara: 

  • 77 peratus peserta melaporkan peningkatan hasil selepas 13 bulan transformasi dijalankan
  • 45 peratus daripada keseluruhan jumlah peserta memperoleh peningkatan hasil lebih 40 peratus
  • 18 peratus daripada keseluruhan jumlah peserta memperoleh peningkatan hasil lebih 100 peratus
  • 25 peratus peserta melaporkan peningkatan hasil sekurang-kurangnya 40 peratus hanya dalam tempoh sebulan selepas transformasi
  • Peserta mencatatkan peningkatan pendapatan purata bulanan setinggi 36 peratus jika dibandingkan dengan kumpulan peruncit ‘terkawal’ yang lain
  • 84 peratus peserta berjaya memenuhi sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan syarat program. Setiap peserta wajib mencapai 32 mata wajib merangkumi lapan kategori 
Ini membuktikan walaupun hanya dalam tempoh empat tahun pelaksanaannya, program TUKAR telah berjaya mentransformasikan hampir 41 peratus atau 2082 daripada 5000 kedai yang disasarkan menjelang 2020. 

TMI telah bersikap tidak adil terhadap para pekedai runcit yang pastinya terkesan dengan laporan mereka yang mengelirukan sehinggakan para peruncit berasa bimbang untuk mengikuti program ini yang mampu memberi mereka peluang untuk mengubah keadaan perniagaan mereka sedangkan di luar sana telah ramai peruncit kecil yang berjaya menikmati hasil keuntungan daripada penyertaan dalam program ini. 

Akan tetapi, oleh sebab TMI terlalu terburu-buru dalam membuat tuduhan terhadap  KPDNKK, PEMANDU dan program TUKAR, mereka telah menidakkan peluang perniagaan yang dikhususkan untuk pengusaha kecil dalam bidang peruncitan dengan menyiarkan maklumat yang  kebenarannya secara terang-terangan diragui kesahihannya. 


Untuk Pertanyaan Media, sila hubungi:

Anuja Ravendran
ETP Communications
PEMANDU
Mobile: 0193721930

2015/08/26
Status:
Economic Transformation Programme
The ETP Transformation Story
The Economic Transformation Programme (ETP) is a comprehensive effort that will transform Malaysia into a high-income nation by 2020.
Copyright © 2013 Performance Management & Delivery Unit (PEMANDU)